<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d3916248643641945254\x26blogName\x3dKnowledge+Seeker\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://thullabul-ilm.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_US\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://thullabul-ilm.blogspot.com/\x26vt\x3d1029696543005013767', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe", messageHandlersFilter: gapi.iframes.CROSS_ORIGIN_IFRAMES_FILTER, messageHandlers: { 'blogger-ping': function() {} } }); } }); </script>
Thullabul 'Ilm  
  ". قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون"
[ سورة الزمر : آية 9 ]
Saturday, March 29, 2008
Saf Di Dalam Solat: Kedudukan, Perintah & Tuntutannya

Saf Di Dalam Solat: Kedudukan, Perintah & Tuntutannya

Solat merupakan satu perkara yang sangat penting di dalam agama Islam. Meluruskan saf juga merupakan suatu kewajipan bagi orang-orang mu'min. Akan tetapi, pada masa sekarang, ianya tidak dititikberatkan lagi. Di bawah ini, merupakan suatu artikel yang ana rasa amat bagus untuk dibaca supaya kita dapat mempraktikkan apa yang telah disuruh oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Wallahu A'lam. -TholibatulIlm



Best View: http://fiqh-sunnah.blogspot.com


Sebaik-baik Saf Dan Keutamaan Saf

Diriwayatkan dari Jabir bin Samirah ia berkata, “Rasulullah bersabda, “Tidakkah kalian ingin berbaris, sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Rabb mereka.” Maka kami bertanya, “Bagaimanakah para malaikat berbaris di hadapan Rabb?’ Beliau menjawab, “Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling merapat di dalam saf.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 430)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seandainya orang-orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 615. Muslim, no. 137)

“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas barisan (saf) yang pertama atau saf yang awal.” (Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/197)

Menyempurnakan Saf Yang Hadapan Dahulu

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sempurnakanlah saf pertama, kemudian saf berikutnya. Jika kurang (saf pertama telah penuh/tidak mencukupi), maka hendaklah ia mengambil saf yang belakang.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i, 2/93)

Posisi Makmum di Dalam Solat

1 – Kedudukan Saf Secara Umum Bagi Lelaki Dan Wanita.

Dari Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan seburuk-buruknya adalah yang paling belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah yang paling hadapan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 440)



1 - Imam (Depan), 2 - Makmum Lelaki (Belakang Imam, Depan Saf Wanita), 3 - Makmum Wanita (Belakang)

2 – Apabila solat berjamaah mengandungi dua orang lelaki, iaitu seorang imam dan seorang makmum.

Apabila imam solat berjamaah hanya dengan seorang makmum, maka dia (makmum) disunnahkan berdiri di sebelah kanan imam (sejajar dengannya), sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau pernah solat berjamaah bersama Rasulullah pada suatu malam dan berdiri di sebelah kirinya. Maka Rasulullah memegang kepala Ibnu Abbas dari belakang lalu memindahkannya ke sebelah kanannya. (Hadis Riwayat Muslim, No. 763. Bukhari, no. 183)

Maka, kedudukan imam adalah di sebelah kiri makmum, dan makmum di sebelah kanan imam dalam keadaan satu barisan (satu saf) sebelah menyebelah.



1 - Imam (Kiri), 2 - Makmum (Kanan)



3 – Solat dengan dua orang makmum (atau lebih) bersama imam.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah al-Anshaari:

“… Rasulullah s.a.w. berdiri untuk menunaikan solat, lalu akupun datang dan berdiri di samping kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakr r.a., ia berwudhu’ lalu mengikuti solat kami, ia berdiri di samping/sebelah kiri Rasulullah. Beliaupun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau...” (Hadis Riwayat Muslim, no. 3006)

Jika tiga orang makmum atau lebih solat bersama imam, maka mereka berdiri di belakang imam menurut kesepakatan para ulama. Hadis-hadis yang menyebutkan tentang masalah ini terlalu banyak untuk disebutkan satu persatu. Makmum tidak boleh berada di depan imam, kerana tidak sah bermakmum bersama seorang imam kecuali jika imam tersebut berada di depan mereka. Jumhur ulama berpendapat, barangsiapa berada di depan imam maka batal solatnya. Imam Malik, Ishaq, Abu Tsaur dan Daud membolehkannya, jika tempat terlalu sempit. (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil. 2, hal. 239, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)




4 – Solat seorang wanita bersama imam lelaki.

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w., dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 727)

Jika seorang lelaki dan seorang wanita solat bersama imam maka lelaki berdiri sejajar di sebelah kanan imam, sementara wanita ber-saf sendirian di belakang keduanya. Diriwayatkan dari Anas, “Bahawa Rasulullah s.a.w. mengimaminya, dan seorang wanita bersama mereka, maka beliau menempatkannya di sebelah kanannya, dan wanita tersebut di belakang mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 269) (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil.2, hal. 240, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

Seorang lelaki boleh menjadi imam solat bagi isterinya atau salah seorang mahramnya. Dan tidak boleh seorang lelaki mengimami seorang wanita asing (bukan mahramnya) seorang diri, berdasarkan keumuman hadis berikut:

“Tidak boleh bagi seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 1171)

Seorang lelaki boleh mengimami sejumlah wanita. Akan tetapi hal ini dibolehkan apabila aman dari fitnah.


1 - Imam (Depan), 2 - Makmum Wanita (Belakang)





1 - Depan - Imam (Kiri), Makmum Lelaki (Kanan), 2 - Belakang & Tengah (Saf Wanita)

5 – Solatnya seorang wanita bersama kaum wanita yang lain.

Diriwayatkan dari Hajirah, dari Ummu Salamah, “Bahawa ia mengimami mereka, dan ia berdiri di tengah-tengah mereka.” (Hadis Riwayat Abdurrazzaq, 3/140) Jika seorang wanita solat mengimami jamaah kaum wanita, maka ia berdiri di tengah-tengah mereka dalam keadaan satu barisan (saf) bersama yang lainnya. Hendaklah ia tidak maju (mengambil posisi ke hadapan).

6 – Posisi kanak-kanak dalam saf solat berjemaah.

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w., dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 727)

Menurut Sheikh al-Albani:

Tidak mengapa anak-anak berdiri di saf kaum lelaki dewasa, jika saf tersebut masih ada ruang. Dan solatnya kanak-kanak lelaki yatim bersama Anas di belakang Rasulullah s.a.w. adalah hujjah dalam masalah ini. (Rujuk: Tamam al-Minah, hal. 282) (Dinukil dari Sahih Fiqih Sunnah, jil.2, hal. 241-242, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

7 – Solat di samping (sebelah) imam kerana saf sudah penuh.

Barangsiapa memasuki masjid dan ia mendapati masjid sudah penuh dan saf-saf sudah sempurna, maka dia boleh membelah saf dan berdiri di samping imam. Ini adalah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w. di ketika beliau sakit. Daripada Aisyah r.ha, dia menyatakan, “Nabi s.a.w. dalam sakitnya yang mengakibatkan beliau wafat, ketika merasa lebih baik, beliau keluar dan mendapatkan Abu Bakar sedang solat bersama yang lain. Ketika Abu Bakar melihat beliau, ia ingin mundur, maka beliau (Nabi s.a.w.) mengisyaratkan kepadanya agar tetap di posisinya/tempatnya semula. Lalu Rasulullah s.a.w. dipapah oleh dua orang sehingga beliau duduk sejajar di sebelah kiri Abu Bakar r.a.. Maka, Abu Bakar mengikuti solat Rasulullah s.a.w., sedangkan orang-orang mengikuti solat Abu Bakar.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 418)

Dalam suatu penjelasan yang lain berkenaan kisah kepergian Nabi s.a.w. ke Bani ‘Amr bin ‘Auf untuk mendamaikan di antara mereka dan solat Abu Bakar bersama manusia, disebutkan, “...Rasulullah s.a.w. datang, sementara orang-orang sedang mengerjakan solat, maka beliau masuk hingga dalam saf...” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 684) Dalam riwayat yang lain, “Beliau membelah saf-saf hingga berdiri di saf yang paling depan.” (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil.2, hal. 239-240, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

Perintah Dan Tuntutan Merapatkan Saf

Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid sekeliling kita. Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata, dan lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil endah berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan atsar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

Meluruskan dan merapatkan saf (barisan) dalam solat berjamaah adalah merupakan suatu hal yang sangat diperintahkan (dituntut), sebagaimana di dalam hadis Nabi s.a.w., (maksudnya), “Luruskan saf-mu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat”. (Hadis Riwayat Muslim, no. 433) Dalam Riwayat yang lain, “Sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 722. Muslim, no. 435) “Sesungguhnya menegakkan saf (meratakan saf), adalah sebahagian dari kebaikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 723)

Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm, merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajiban. Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu menghadap kepada jamaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.

Umar bin Khaththab r.a. pernah memukul Abu Utsman al-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang dikatakan oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Rujuk Fathul Bari, 2/447). Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, “Apa yang engkau ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?” Dia menjawab, “Tidak ada perbuatan kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf kalian.” (Diriwayatkan oleh Bukhari di dalam Sahihnya, no. 724)

Bahkan Rasulullah s.a.w. sebelum memulakan solat, beliau berjalan merapikan saf dan memegang dada dan bahu para sahabat lalu bersabda, “Hendaklah kalian meluruskan saf-saf kalian atau Allah akan membalikkan wajah-wajah kalian.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 717, Muslim, no. 436)

Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a.. dia berkata, “Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, memegang dada dan bahu kami seraya bersabda, “Jangan lah kalian berbeza (tidak lurus safnya), kerana akan menjadikan hati kalian berselisih.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:

“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)

Sedangkan hadis yang diriwayatkan dari Anas r.a., Beliau bersabda, “Luruskan dan rapatkan saf-saf kalian, kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari balik punggungku.” (Diriwayatkan oleh Abu Ya’la di dalam al-Musnad, no. 3720, al-Mukhlis di dalam al-Fawaid (1/10/2), Sa’id ibn Manshur di dalam al-Sunan, dan al-Ismaili sebagaimana di dalam Fathul Bari (2/211). Sanad hadis ini adalah sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim seperti disebutkan di dalam al-Silsilah as-Sahihah)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan.” (Rujuk: Fathul Bari 2/443) Pendapat ini juga didukung oleh Imam al-Nawawi, beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika ber-saf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati.”

Sementara Qadhi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan “Allah akan mengubah hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan mengubah wajah mereka)”. Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (i’tidal), maka Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai. Imam al-Kirmani menyimpulkan, “Akibat dari pertentangan dan perbezaan di dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga perbezaan balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan safnya.”

Berdiri di dalam saf bukan hanya sekadar berbaris lurus, tetapi juga dengan merapatkan kaki dan bahu antara satu dengan yang lainnya seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97)

Bahkan sehingga ada sebahagian ulama yang mewajibkan hal itu, sebagaimana perkataan Sheikh al-Albani rahimahullah dalam mengulas sabda Nabi s.a.w. “...atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian,” dengan menyatakan, “Sesungguhnya ancaman seperti ini tidak boleh dikatakan termasuk perkara yang tidak diwajibkan, sebagaimana tidak samar lagi.” Akan tetapi sungguh amat sangat disayangkan, sunnah meluruskan dan merapatkan saf ini telah diremehkan bahkan dilupakan kecuali oleh segelintir kaum muslimin.

Berkata Sheikh Masyhur Hasan Salman (Rujuk: Majalah FATAWA, vol. 3/no.11, November 2007/Dzulqae’dah 1428):

Apabila jamaah solat tidak melaksanakan sebagaimana yang dilakukan oleh Anas dan al-Nu’man maka akan selalu ada celah dan ketidaksempurnaan dalam saf. Dan pada kenyataannya (kebanyakannya) para jemaah solat apabila mereka merapatkan saf maka akan luaslah saf (menampung banyak jemaah) khususnya saf pertama kemudian yang kedua dan yang ketiga. Apabila mereka tidak melakukannya, maka:

Pertama: Mereka terjerumus dalam larangan syar’i, iaitu tidak meluruskan dan meluruskan saf.

Kedua: Mereka menyediakan celah untuk syaitan dan Allah akan memutuskan mereka, sebagaimana hadis dari Umar bin Khaththab r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda, “Tegakkan saf-saf kalian dan rapatkan bahu-bahu kalian dan tutuplah celah-celah dan jangan kalian tinggalkan celah untuk syaitan, barangsiapa yang menyambung saf nescaya Allah akan menyambungnya dan barangsiapa memutuskan saf nescaya Allah akan memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim) “Dan barangsiapa memutuskan saf (tidak merapatkan atau memenuhkan saf), maka Allah akan memutuskan hubungan dengan-Nya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 785)

Ketiga: Terjadi perselisihan dalam hati-hati mereka dan timbul banyak pertentangan di antara mereka, sebagaimana dalam hadis an-Nu’man terdapat faedah yang menjadi terkenal dalam ilmu jiwa, iaitu sesungguhnya rosaknya zahir mempengaruhi rosaknya batin dan begitu jugalah sebaliknya. Di samping itu bahawa sunnah meluruskan dan merapatkan saf menunjukkan rasa persaudaraan dan saling tolong-menolong, sehingga bahu si miskin menempel dengan bahu si kaya dan kaki orang lemah merapat dengan kaki orang kuat, semuanya dalam satu barisan seperti bangunan yang kuat, saling menopang satu sama lainnya.

Keempat: Mereka kehilangan pahala yang besar yang dikhabarkan melalui hadis-hadis yang sahih, di antaranya sabda Nabi s.a.w., “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada orang yang menyambung saf.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Kitabnya Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/335)

Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul

1 – Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadis berikut:

“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Kitab Azan, no. 76. Abu Daud, no. 616)

2 – Meratakan/meluruskan telapak kaki dengan talapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.

“Dari Anas bin Malik r.a. berkata, “(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 725)

“Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud) Baginda s.a.w. mengarahkan jari jemari kakinya ke arah kiblat. (Rujuk: Tuntutan Rasulullah Dalam Ibadah, hlm. 19. Ibn Qaiyyim al-Jauziyah – Dinukil dari buku: Solatlah Sebagaimana Rasulullah s.a.w. Solat, Oleh Ustaz Rasul Dahri)






Betul - Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)



Salah - Kaki tidak lurus ke hadapan



3 – Menutup ruang/celahan di antara saf.

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97. Juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud, 1/197) Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 667. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/198)

4 – Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang baik/betul.

Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:

“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)



Keudukan/susunan Saf Yang Betul Dan Rapi




Kedukan/Susunan Saf Yang Salah yang mana banyak terjadi di sekeliling kita Masa ini

Larangan Membuat Saf Sendirian

Seorang makmum dilarang membuat saf sendirian, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Wabishah bin Mi’bad, bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seseorang solat di belakang saf sendirian, maka beliau memerintahkan untuk mengulang solatnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/299 dan Irwaa’ul Ghalil, no. 541)

Menurut Sheikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin (rujuk: asy-Syarhul Mumti’, 4/376-385), jika seseorang menjumpai saf yang sudah penuh, sementara ia sendirian dan tidak ada yang ditunggu, maka boleh baginya solat sendiri di belakang saf itu.

Untuk menjaga keutuhan, seseorang dibolehkan untuk maju atau bergerak ke hadapan ketika mana mendapati ada saf di hadapannya yang terputus. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah, beliau bersabda, “Barangsiapa yang memenuhi celah yang ada pada saf maka Allah akan mengampuni dosanya.” (Hadis Riwayat al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Tiada langkah paling baik melebihi yang dilakukan oleh seseorang untuk menutupi celah di dalam saf. Dan semakin banyak teman dan saf dalam solat berjamaah akan semakin afdhal, sebegaimana yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Solat seorang bersama seseorang lebih baik daripada solat sendirian, dan solat bersama dua orang lebih baik dari solat bersama seseorang. Dan bila lebih banyak maka yang demikian lebih disukai oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Muttafaq ‘Alaih)

Terpisahnya Makmum Dengan Imam Kerana Dinding

Diriwayatkan dari Aisyah, dia berkata, “Rasulullah s.a.w. solat pada malam hari di kamarnya. Sementara dinding kamar itu pendek, sehingga orang-orang dapat melihat Nabi s.a.w., maka sejumlah orang berdiri mengikuti solatnya...” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 729)

Memasuki Saf Dalam Keadaan Tenang

Dan ketika memasuki saf untuk solat disunnahkan untuk melakukannya dengan tenang iaitu tidak terburu-buru, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah, bahawasanya ia solat dan mendapati Nabi sedang ruku’ lalu dia ikut ruku’ sebelum sampai kepada saf, maka Nabi berkata kepadanya, “Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat (kemahuan), tetapi jangan kamu ulangi lagi.” (Hadis Diriwayatkan oleh Bukhari) Dan dalam Riwayat Abu Daud, ada tambahan, “Ia ruku’ sebelum sampai di saf lalu dia berjalan menuju saf.” (Rujuk artikel berkenaan hal ini di pautan berikut: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/02/082-persoalan-masbuk-ketika-imam-sedang.html)

Rujukan/Disusun Daripada:

1 – Majalah FATAWA, vol. 3/no.11, November 2007/Dzulqa’dah 1428.
2 – Kertas Kerja: Merapatkan, Meluruskan, & Meratakan Saf Dalam Solat, Oleh Ustaz Rasul bin Dahri.
3 – Solatlah Sebagaimana Rasulullah s.a.w. Solat, Oleh Ustaz Rasul Dahri.
4 - Shahih Fiqih Sunnah, Jilid 2, Oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim.
5 – Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, Jilid 2, oleh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani.

Labels: , , , ,


7:04 PM
Thursday, March 06, 2008
Bilakah Masanya Ghibah (Mengumpat) Dibenarkan?

Bilakah Masanya Ghibah (Mengumpat) Dibenarkan?

Dipetik Dari: www.bahaya-syirik.blogspot.com

Persoalan Ghibah Secara Umum

أَتَدْرُوْنَ مَا الْغِيْبَةُ ؟ قَالُوْا الله ورسولُهُ أَعْلَمُ . قَالَ : ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيْلَ : أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِيْ أَخِيْ مَا أَقُوْلُ ، قَالَ : إِنْ كَانَ فِيْهِ مَا تَقُوْلُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيْهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ



“Tahukah kamu apa itu ghibah? Mereka menjawab Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Bagaimana pendapat kamu jika apa yang aku katakan ada pada orang itu? Baginda menjawab: Engkau telah menghibah dia tetapi bila tidak ada padanya maka engkau telah berdusta kepadanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Erti ghibah atau umpat (mengumpat) ialah: Kata-kata yang bermaksud untuk menodai nama orang (merugikan orang). Kata-kata mengeji (mengejek). (Lihat: KAMUS DEWAN, Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka) Atau memperkatakan tentang keburukan orang lain di belakangnya yang tidak disukai oleh orang tersebut. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menjelaskan erti ghibah dengan sabdanya:

أَنْ تَذْكُرَ الرَّجُلُ بِمَا فِيْهِ مِنْ خَلْفِهِ



“Ghibah adalah engkau menyebut-nyebut seseorang tentang apa yang ada padanya dari belakangnya (tanpa diketahuinya)”. (Lihat: Sahihul Jami’ No. 4062. Al-Albani)

أَلْغِيْبَةٌ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بَمَا يَكْرَهُ



“Ghibah ialah engkau menyebut-nyebut saudaramu dengan sesuatu yang dia tidak disukainya”. (Lihat: Sahihul Jami’ No. 4062. Al-Albani)

Setiap mukmin wajib mengetahui hakikat ghibah agar tidak diperangkap oleh iblis (talbisu-iblis-تلبيس ابليس) melalui ghibah yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ghibah yang haram atau yang batil wajib ditinggalkan. Namun para ulama Salaf as-Soleh tidak mengharamkan secara mutlak semua jenis ghibah, sama ada ghibah yang melalui perkataan, kritikan, tulisan, ucapan, perbuatan dan sebagainya.

Secara umumnya, ghibah adalah dilarang sebagaimana dalil berikut,

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan pra-sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari pra-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seseorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (al-Hujurat 49: 12)

“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela…” (al-Humazah 104: 1)

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa Utsman dan Ibnu Umar berkata: "Masih segar terdengar di telinga kami bahwa ayat ini (104: 1, 2) turun berkenaan dengan Ubay bin Khalaf, seorang tokoh Quraisy yang kaya raya, yang selalu mengejek dan menghina Rasul dengan kekayaannya." (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi hatim yang bersumber dari Utsman dan Ibnu Umar)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahwa ayat ini (104: 1, 2, 3) turun berkenaan dengan al-Akhnas bin Syariq yang selalu mengejek dan mengumpat orang. Ayat ini turun berkenaan sebagai teguran terhadap perbuatan seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi hatim yang bersumber dari as-Suddi)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahwa ayat ini (104:1-3) turun berkenaan dengan Jamil bin Amir al-Jumbi seorang tokoh musyrik yang selalu mengejek dan menghina orang. (Diriwayatkan oleh Ibnu jarir yang bersumber dari seorang suku Riqqah)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa Ummayah bin Khalaf selalu mencela dan menghina Rasulullah apabila berjumpa dengannya. Maka Allah menurunkan ayat ini (104: sampai akhir surat) sebagai ancaman siksa yang sangat dahsyat terhadap orang-orang yang mempunyai anggapan dan berbuat seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir yang bersumber dari Ibnu Ishaq)

Ghibah (Mengumpat) Yang Dibenarkan

Para ulama Salaf as-Soleh telah menghalalkan ghibah dalam beberapa hal:

Pertama: Dibolehkan menghibah, mengkritik keburukan, kesesatan, kekufuran, penyimpangan dan kenifakan para penyesat. Iaitu dengan niat untuk memberikan peringatan dan nasihat kepada umat Islam agar berwaspada terhadap mereka. Malah menurut kesepakatan ulama, dibolehkan menghibah dan menyebut bid’ah dan keburukan mereka supaya menjadi peringatan kepada orang-orang yang beriman agar menjauhi mereka dan bid’ah-bid’ahnya. Amalan inilah yang dipilih oleh Imam Ahmad rahimahullah sebagaimana yang dapat difahami dari jawapan beliau ketika ditanya:

قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ بَنْدَار الْجرْجَانِي للا مَامِ اَحْمَد : اِنَّهُ لَيَشْتَدُّ عَلَيَّ اَنْ اَقُوْلَ : فُلاَنٌ كَذَا وَفُلاَنٌ كَذَا ، فَقَالَ اَحْمَدُ : اِذَا سَكَتَّ اَنْتَ وَسَكَتُّ اَنَا , فَمَتَى يَعْرِفُ الْجَاهِلُ الصَّحِيْحَ مِنَ السَّقِيْمِ ؟



“Telah bertanya Muhammad bin Bandar al-Jurjani kepada Imam Ahmad: Sesungguhnya amat berat bagiku untuk mengatakan: Si Fulan itu begini dan Si Fulan itu begini. Maka berkata Imam Ahmad: Jika engkau mendiamkan diri dan aku mendiamkan diri, maka bilakah Si Jahil akan mengetahui yang benar dan yang keji (yang berpenyakit di hatinya)?” (Lihat: مجموع الفتاوى 28/231. Ibnu Taimiyah. Lihat: شرح علل الترمزي , 1/350)

Imam Ahmad dengan ketegasannya menghibah (menceritakan keburukan) seseorang ahli bid’ah jika sudah jelas bid’ahnya. Beliau ditanya berkenaan Husin al-Karabisi (ahli bid’ah), beliau menjawab:

هُوَ مُبْتَدِعٌ



“Dia Ahli Bid’ah”. (Lihat: تاريخ بغداد 8/65-66)

Di jalur riwayat yang lain, Imam Ahmad berkata:

اِيَّاك ، اِيَّاكَ وَحُسَيْنُ الْكَرَابِيْسِي ، لاَ تُكلّمهُ ، وَلاَ تكلم مَنْ يُكَلِّمَهُ



“Hati-hati, hati-hatilah terhadap Husin al-Karabisi, janganlah engkau bercakap dengannya, janganlah engkau bercakap dengan orang yang berbual dengannya!”. (Lihat: تاريخ بغداد 8/65-66)

Menurut Imam Ahmad rahimahullah: Apabila seseorang itu telah ternyata sebagai ahli bid’ah, maka beliau berpendirian wajib mendedahkan (menghibah) ahli bid’ah tersebut dan bid’ah yang dilakukannya. Ketika beliau ditanya:

قِيْلَ للاِمَامِ اَحْمَد : اَلرَّجُلُ يَصُوْمُ وَيُصَلِّي وَيَعْتَكِفُ اَحَبَّ اِلَيْكَ اَوْ يَتَكَّلَمُ فِى اَهْلِ الْبِدَعِ ؟ فَقَالَ : اِذَا صَامَ وَصَلَّى وَاعْتَكَفَ فَاِنَّمَا هُوَلِنَفْسِهِ وَاِذَا نَكَلَّمَ فِىاَهْلِ الْبِدَعِ فَاِنَّمَاللمُسْلِمِ هَذَا اَفْضَلُ



“Ditanyakan kepada Imam Ahmad: Manakah yang paling engkau cintai, seorang yang solat, puasa dan i’tikaf ataukah orang yang memperkatakan (menghibah) ahli bid’ah? Maka beliau berkata: Apabila seseorang itu bersolat, puasa dan i’tikaf, itu hanya untuk dirinya sendiri. Apabila membincangkan (menghibah) keburukan ahli bid’ah, maka itu untuk kaum Muslimin. Inilah yang lebih utama”. (Lihat: مجموع الفتاوى 28/231. Ibn Taimiyah)

Abu Zur’ah rahimahullah juga menjelaskan tentang al-Harith al-Mahasibi dan kitab-kitabnya, beliau berkata:

اِيَّاكَ وَهَذَهِ الْكُتُبُ ، هَذِهِ كُتُبٌ بِدْعٌ وَضَلاَلَةٌ ، فَعَلَيْك بِالأَثَرِ.

“Hendaklah kamu berhati-hati terhadap buku-buku ini. Ini buku-buku (kitab-kitab) bid’ah dan sesat. Maka wajib bagi kamu berpegang kepada atsar (pegangan para sahabat)”. (Lihat: الاجوبة المفيدة عن اسئلة المناهج الجديدة hlm. 13. Soleh bin Fauzan)

Walaupun mereka yang dighibah mempunyai beberapa kebaikan, namun pendirian dan sikap para ulama Salaf as-Soleh dengan niat untuk membanteras kemungkaran, kejahatan dan kesesatan, maka melalui kaedah Jarh wa-Ta’dil dibolehkan menghibah mereka demi untuk menghalang dari tersebarnya kemungkaran. Sebagai contoh, para ulama Salaf as-Soleh telah menghibah golongan Jahmiyah, Mu’tazilah, Khawarij dan semua firqah yang sesat dan penyesat.

Begitu juga dibolehkan menghibah keburukan para perawi hadis demi untuk menyelamatkan kesahihan hadis, maka mereka tidak dilarang menghibah para perawi dengan menyebut kesalahan-kesalahannya, seperti dikatakan Si Fulan mungkar, tidak dipercayai, lemah, pelupa, kazzab (pembohong) dan sebagainya. Imam asy-Syaukani berkata:

“Dan yang menjadi hujah atas hal ini adalah dalil-dalil yang jelas seperti hadis mengenai nasihat kepada Allah, kitab-Nya, Rasulnya dan para pemimpin Islam khususnya dan umat Islam umumnya kerana menjelaskan pembohongan para pendusta adalah merupakan nasihat yang paling besar kepada Allah dan Rasul-Nya”. (Lihat: Raf’u ar-Raibah. Hlm. 27. Tahqiq Muhammad Ibrahim asy-Syaibani. Maktabah Ibnu Taimiyah)

Ibnu Taimiyah juga banyak membantah, mengkritik dan menghibah Ahli Kalam, Jahmiyah, Mu’tazilah, Sufiyah dan Asy’ariyah. Ibnu Taimiyah menghibah al-Akhnai’i الأخنائي)), al-Bakari dan selain mereka.

Dalam persoalan yang sama, Sheikh Dr. Rabi’ al-Madkhali pernah membantah kenyataan Salman al-Audah sebagaimana berikut, yang mana Salman al-Audah pernah berkata mengenai keadilan muwazanah, menurut beliau:

“Ketika kamu mengkritik sesebuah tulisan, maka tidak adil jika hanya mengatakan: Kitab ini termuat hadis-hadis palsu atau lemah dan pendapat-pendapat yang janggal. Kamu menyebut sudut keburukannya sedangkan melupakan sudut kebaikannya dari kitab tersebut. Misalnya jika kitab tersebut mengandungi berbagai-bagai kebaikan dan kajian ilmiyah maka jika hanya mendedahkan separuh dari kitab itu bererti telah melalaikan setengah yang lain, ini adalah tindakan yang curang. Ramai yang hanya memandang pada sudut kesalahan sahaja pada sebuah kitab yang ditahzir تحذير (diberi peringatan) disebabkan kitab itu mengandungi hadis lemah, atau disebabkan kesalahan pada suatu masalah. Seandainya kita perhatikan secara teliti kitab yang ditulis oleh para ulama dengan muwazanah ini, nescaya kita tidak akan temui suatu kitab pun yang sunyi dari kesalahan”. (Lihat: منهج اهل السنة والجماعة فى نقد الرجال والكتب والطوائف Dr. Rabi’ bin Hadi)

Syeikh Rabi’ bin Hadi Umair al-Madkhali hafizahullah apabila mengulas pendapat Salman al-Audah, beliau berkata:

“Adil lawannya zalim, apabila pada sesebuah kitab terdapat pelbagai bid’ah dan khurafat di dalamnya, kemudian ada orang Islam menasihati agar kaum muslimin berwaspada terhadap kitab tersebut maka ini bukanlah suatu kezaliman sedikitpun. Demikian juga apabila seorang memiliki aib atau bid’ah, lalu disebut hal tersebut, ini bukan bererti zalim atau mengumpat (ghibah). Tetapi ini adalah bentuk nasihat (yang dituntut. Pent.) dan merupakan suatu tanggungjawab menurut kalangan para ulama Islam. Yang dinamakan kezaliman adalah apabila meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya, sedangkan menyebut aib dan bid’ah yang terdapat dalam sesebuah kitab atau aib yang terdapat pada seseorang dengan tujuan nasihat bagi kaum muslimin, maka itu adalah merupakan hal yang dituntut secara syariat. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kemaslahatan serta menghindari pelbagai kerosakan”. (Lihat: منهاج اهل السنة والجماعة فى نقد الرجال والكتب والطوائف , Syeikh Rabi’ bin Hadi)

Dengan penjelasan di atas, bahawa menghibah penyelewengan dan hakikat kesesatan bid’ah yang ditulis oleh para penulis dan aktiviti bid’ah, semua itu adalah tindakan yang wajar menurut kesepakatan kaum muslimin agar umat berwaspada dan menjauhi kegiatan bid’ah, khurafat dan syirik. Malah dibolehkan menghibah dengan menyusun banyak kitab untuk melawan dan mengkritik ahli bid’ah (penyebar bid’ah), memberi peringatan kepada ahli Sunnah agar berhati-hati terhadap ahli bid’ah demi membela sunnah. Imam Yahya bin Yahya an-Naisaburi berkata: Membela sunnah lebih baik daripada jihad. (Keseluruhan wasiat ini dinukil dari: Manhaj Ahli Sunnah Dalam Mengkritik Tokoh, Kitab Dan Aliran. Oleh Sheikh Dr. Rabi’ bin Hadi Umair al-Madkhali)

Menurut Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan:

اذا كان الْمنتَقَد من اهل السنة والجماعة ، واخطاؤه فى الامور التي لا تخِلّ بالعقيدة ، فنعم ، هذا تُذكر ميزاته وحسناته ، وتُغمر زلاته فى نصرته للسنة

“Apabila yang dikritik itu Ahli Sunnah wal-Jamaah dan kesalahannya dalam perkara yang tidak berkaitan dalam masalah akidah. Ya! Sewajarnya disebut keistimewaan dan kebaikannya dan ditutup ketergelincirannya kerana pembelaannya terhadap sunnah”. (Lihat: الاجوبة المفيدة عن اسئلة المناهج الجديدة hlm. 29. Syeikh Dr. Soleh bin Fauzan al-Fauzan, Darus Salaf)

Beliau berkata lagi:

وَاَمَّا اذا كان المردود عليه من اهل السنة والجماعة فان الردَّ يكون بادب ، وينبَّه على اغلاطه التى تكون فى مسائل الفقه ومسائل الاستنباط والاجتهاد فنقول : فلان اخطا فى كذا والصواب كذا بالدليل غفر الله له ، وهكذا اجتهاده ، وهكذا كما كانت الردود بين الفقهاء من المذاهب الاربعة وغيرهم ، وهكذا لا بقدح فى مكانته العلمية اذا كان من اهل السنة والجماعة. واهل السنة والجماعة ليسوا معصومين ، عندهم اخاء وقد يفوت احدهم الدليل او اختلال الاستنباط ، فلا نسكت على الخطأ وانما نبينه مع الاعتذار عنه. لِقَوْلِ النبي صَلَّى اللهُ عليه وسلم :

“Sedangkan apabila yang dikritik itu adalah Ahli Sunnah wal-Jamaah, dalam mengkritik harus menggunakan adab-sopan. Kemudian menjelaskan kesalahannya dalam masalah-masalah fiqh, istimbat dan ijtihad. Beginilah bantah-membantah di kalangan fuqaha antara imam yang empat dan selain mereka. Ini dalam masalah-masalah fiqh. Dan ini tidak tercela secara ilmiyah. Ahli Sunnah wal-Jamaah tidak maksum. Mereka mempunyai kekeliruan-kekeliruan, kadang-kadang mereka belum mendaptkan dalil atau salah istimbat. Maka kita jelaskan kesalahannya dan tidak diam atas hal ini. Kemudian kita memberi uzur kepadanya kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اِذَا اجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَاَصَابَ فَلَهُ اَجْرَانِ ، وَاِنْ اجْتَهَدَ فَاَخْطَاَ فَلَهُ اَجْرٌ وَاحِدٌ.

“Apabila seorang hakim (mujtahid) telah berijtihad dan benar maka baginya dua pahala. Apabila dia berijtihad dan salah maka baginya satu pahala”. (Hadis Riwayat Bukhari. 6919. Dan Muslim. 1718)

اما اذا كان فى مسائل العقيدة فانه لا يجوز لنا ان نمدح المضللين والمخلفين لأهل السنة والجماعة من : معتزلة ، وجهمية ، وزنادقة وملاحدة ، واناس مشبوهين فى هذا العصر وما اكثرهم

“Adapun dalam masalah-masalah akidah, tidak dibenarkan bagi kita memuji-muji penyesat dan penyimpang dari Ahli Sunnah wal-Jamaah, seperti Mu’tazilah, Jahmiyah, Zanadiqah dan Mulahadah. Dan dewasa ini terlalu ramai manusia yang tergelincir (lantaran masalah yang timbulkankan oleh para penyesat. Pent.)”.

اَمَّا اذا كان المنتَقَد من اهل الضلال ، ومن اهل الانحراف ومن اهل المبادئ الهدَّامة او المشبوهة ، فهذا لايجوز لنا ان نذكر حسناته ان كان له حسنات

“Oleh kerana itu jika yang dikritik para penyesat, penyeleweng dan pencipta prinsip-prinsip yang menghancurkan dan syubhat, maka tidak boleh bagi kita menyebutkan kebaikan-kebaikannya walaupun dia mempunyai banyak kebaikan”. (Hadis Riwayat Bukhari, 6919. Dan Muslim, 1718)

Selanjutnya beliau menjelaskan:

لأننا اذا ذكرناها فان هذا يغرر بالناس ، فيحسنون الظن بهذا الضال ، او المبتدع ، او هذا الخرافى ، او الحزبي ، فيقبلون افكار هذا الضال ، او هذا المبتدع ، او ذاك المتحزب

“Jika sekiaranya kita menyebutkan kebaikan-kebaikannya, ini bererti kita menipu manusia, sehingga mereka bersangka baik (فيحسنون الظن) kepada penyesat ini atau ahli bid’ah atau ahli khurafat atau orang-orang yang suka hizbi. Mereka (orang awam. Pent.) akan menerima buah fikiran penyesat, ahli bid’ah atau (orang-orang) hizbi tersebut”. (Hadis Riwayat Bukhari, 6919. Dan Muslim, 1718)

Kedua: Dibolehkan menghibah semasa membuat aduan atau meminta bantuan kepada pihak yang berkuasa seperti menceritakan sifat seseorang semasa membuat aduan atau laporan kepada mereka. Memberi keterangan kepada hakim, mahkamah sivil, mahkamah syariah dan sebagainya, iaitu berdasarkan hadis:

“Dari Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Hindun, isteri Abu Sufyan pernah mengadu kepada Rasulullah: Sesungguhnya Abu Sufyan orang yang lokek, tidak memberi nafkah yang cukup buat anak-anakku, sehingga aku mengambil dari hartanya tanpa pengetahuan darinya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketiga: Dibolehkan ghibah dan menceritakan sifat orang yang dighibah untuk meminta fatwa. Seperti seseorang berkata: Si Fulan telah menzalimiku dengan membuat itu dan ini.

Keempat: Kerana kemaslahatan umum. Seperti peranan akhbar (mas media) menceritakan sifat seseorang yang hilang agar mudah dikesankan. Begitu juga dalam usaha membenteras keganasan, maksiat, mengesan orang-orang yang membahayakan orang-orang awam dan sebagainya.

Kelima: Menyebut (Menghibah) keaiban (menjarh) saksi palsu (yang membuat pengakuan atau persaksian palsu) dalam persoalan yang berkaitan dengan nyawa (darah) kehormatan atau harta. Iaitu berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ وُعُقُوْبَتَهُ

“Seseorang yang mampu membayar hutang, tetapi tidak membayarnya, maka halal kehormatannya dan hartanya”. (Hadis ini disahihkan oleh syeikh al-Albani rahimahullah. Lihat: Al-Misykah, No. 2919)

Menurut al-Munawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadis di atas ini bahawa: لَيُّ الْوَاجِدِ bermaksud: “Orang kaya”. (Lihat: Kitab Faidhul Qadir (dalam mensyarahkan hadis ini). Oleh al-Munawi) Di dalam kalimah عُقُوْبَتُهُ ia membawa maksud: “Seorang hakim membantu melaksanakan hukuman terhadap yang tidak mahu membayar hutangnya dengan cara disebat atau dipenjarakan”. (Lihat: Kitab Faidhul Qadir (dalam mensyarahkan hadis ini). Oleh al-Munawi) Penjelasan ini menandakan bahawa orang kaya yang tidak mahu membayar hutangnya boleh dighibah sebagai peringatan kepadanya.

Walau bagaimanapun tidak dihalalkan menghibah orang yang telah bertaubat dari kesalahannya, sebagaimana larangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam terhadap mereka yang menghibah al-Aslami radiallahu ‘anhu yang telah bertaubat, yang mana setelah bertaubat beliau mendatangi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam untuk membersihkan dirinya dari dosa berzina sehingga dilaksanakan hukuman rejam ke atasnya. (Lihat: Al-Ghibah wa-Atsaruha fi al-Muhtama, Bab 2, Syeikh Husin al-Awayisyah)

Tidak Menyebutkan Kebaikan (Muwazanah/Timbangan) Kepada Ahli Bid’ah (Perosak Agama) Ketika Mengkritik Kesesatannya

Erti atau makna muwazanah (موازنة) secara bahasa ialah: “Penilaian Seimbang”. Namun maksud yang dikehendaki oleh pencetus manhaj ini ialah: Apabila mengkritik tentang keburukan atau kesalahan seseorang wajib disebutkan juga kebaikan-kebaikannya.

Para ulama Salaf as-Soleh tidak menerima secara mutlak dan tidak menolak secara mutlak akan prinsip muwazahan, keranaa muwazanah (الموازنة) termasuk bab al-Insaf (الانصاف) atau ‘adl.

Tetapi kenyataan sebenar dari penggunaan kalimah (Muwazanah) yang bid’ah ini telah disalah guna oleh golongan ahli bid’ah seperti golongan Ikhwanul Muslimin dan yang sealiran dengannya. Mereka mendifinisikan muwazanah secara hawa nafsu. Muwazanah meurut mereka ialah:

“Apabila menilai, mengkritik atau mengomentar seseorang individu atau jamaah tentang keburukannya, maka wajib ada muwazanah iaitu (menimbang) sudut kebaikannya dengan menyebut kebaikannya di samping muwazanah (menimbang) sudut keburukannya, supaya berlaku adil dan tidak berlaku zalim. Sama ada bermuwazanah pada hasil tulisan seperti kitab, makalah, ceramah, sikap, amalan atau sebagainya”.

Manhaj muwazanah yang seperti ini adalah manhaj yang bid’ah kerana ia sangat asing, malah ternyata amat bertentang dengan manhaj Salaf as-Soleh. Muwazanah telah menjadi manhaj baru kepada ahli bid’ah dan kepada orang-orang yang gemar membela bid’ah seperti kelompok Khawarij dan golongan hizbiyah. Golongan pertama yang menyerukan “Muwazanah” ialah Yayasan al-Hikmah, Ikhwanul Muslimin dan Sururiyun. (Lihat: إعلام اخوان بما قاله المحدث العلامة مقبل الوادعي أبوعبدالرحمن في الداعية عبدالرحمن عبدالخالق وجمعيته ومجلتة الفرقان. )

Walaupun orang-orang munafik, orang-orang fasik, orang-orang syirik, orang-orang zalim, Yahudi, Nasrani serta Majusi, mereka juga mempunyai kebaikan-kebaikan. Namun, Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagai Rabb (Tuhan) kita, dalam membantah orang-orang fasik, zalim, syirik atau orang-orang kafir sama ada Yahudi, Nasrani dan Majusi yang nyata telah berbuat dosa maka Allah tidak menyebut kebaikan mereka walaupun sedikit. Inilah manhaj yang wajib kita ikuti sebagai manhaj pegangan para Nabi, para Rasul dan para ulama Salaf as-Soleh.

Pendirian para ulama Salaf as-Soleh dalam mengkritik dan membantah kemungkaran, kejahatan dan kesesatan Jahmiyah, Mu’tazilah, Khawarij dan semua firqah yang sesat dan penyesat, sama sekali tidak menyebutkan kebaikan mereka. Kerana semua kebaikan mereka tertutup dan terhapus dengan kejahatan, kesesatan, kekufuran dan bid’ah-bid’ah yang mereka lakukan.

Begitu juga, al-Quran telah memuji orang-orang beriman, tetapi tidak menyebutkan kesalahan mereka, sebaliknya mencela orang-orang kafir dan munafik namun tidak menyebutkan pula kebaikan mereka. (Lihat: منهج اهل السنة والجماعة فى نقد الرجال والكتب والطوائف Rabi’ bin Hadi Umair al-Madkhali)

Adakah Dibolehkan Mengkritik Keburukan Pemerintah/Pemimpin/Penguasa

Maka hal ini telah dijelaskan secara panjang lebar sebagaimana di dalam artikel-artikel yang lalu yang mana boleh dicapai/dilihat melalui capaian link berikut:

1 – Sikap Ahlus Sunnah Terhadap Pemerintah (http://an-nawawi.blogspot.com/2007/12/sikap-rakyat-terhadap-pemerintah-yang.html)

2 – Menasihati Pemerintah Menurut as-Sunnah – (http://an-nawawi.blogspot.com/2007/09/menasihati-pemerintah-menurut-as-sunnah.html)

Kesimpulan:

Kritikan secara terang-terangan atau mengumpat/ghibah ke atas sesuatu individu atau kumpulan tertentu adalah dibolehkan dengan beberapa syarat yang ketat yang iaitu mana jika mereka (yang di-ghibah) yang mana sikapnya/pemikirannya membahayakan kelangsungan aktiviti umat dalam persoalan agama (bagi tujuan menjaga/menjamin ketulenan agama), dalam persoalan aqidah, dan keselamatan nyawa, atau dengan sebab menerangkan persoalan jenayah di dalam mahkhamah.

Adapun mengumpat bagi tujuan memburuk-burukkan individu tertentu tanpa sebarang sebab yang boleh membahayakan kepada umat/masyarakat, maka itu adalah tidak dibolehkan dan ditegah sama sekali. Dan perlulah difahami bahawa dalam persoalan dibenarkan mengumpat inibukanlah tujuan utamanya untuk memburukkan pihak yang diumpat, tetapi lebih kepada bertujuan menyelamatkan ummat.

Adapun mengumpat pemerintah/penguasa, ia memiliki kaedah yang berbeza dan sebenarnya dilarang kerana ia memiliki prinsip dan adab yang khusus sebagaimana yang dijelaskan melalui pelbagai hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

4:47 PM